JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas ditemukan dalam peti sejuk beku meninggal dunia akibat kecederaan di dada

KUALA LUMPUR – Punca kematian jasad yang ditemukan dalam peti sejuk di Taman OUG, dekat Jalan Klang Lama, di sini pada 12 November lalu, disebabkan kecederaan pada bahagian dada kesan daripada hentakan objek tumpul.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang menambah, buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan penuh kejadian pembunuhan warga emas berusia lingkungan 80-an itu.

“Si mati meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada kesan hentakan objek tumpul atau ‘chest injuries due to blunt trauma’.

“Jasad mangsa dituntut suaminya pada pukul 9 pagi tadi di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terpisah sejak sekian lama sebelum mereka membawa haluan berasingan.

“Suami mangsa sebelum ini menetap di Manjung, Perak hanya mengetahui kejadian ini melalui laporan disiarkan media, sebelum tampil membantu siasatan polis,” katanya kepada BH Online, hari ini.

Rusdi turut berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan jangka masa kematian mangsa sehingga laporan penuh bedah siasat dikeluarkan pegawai perubatan Jabatan Forensik.

Beliau kemudiannya memberitahu, suspek utama kejadian, iaitu anak lelaki mangsa yang berusia 53 tahun, kini selesai mendapatkan rawatan di PPUM akibat masalah kesihatan kronik sejak ditahan.

“Suspek selesai menjalani rawatan di PPUM pada pukul 6 petang semalam dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Dia kini ditahan reman sehingga 26 November ini,” katanya memaklumkan polis sudah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu melengkapkan siasatan.

Laporan media pada 12 Npvember lalu memberitahu mengenai penemuan satu jasad wanita warga emas disimpan dalam sebuah peti sejuk.

Penemuan itu susulan pengakuan suspek yang sebelum itu menghubungi talian MERS 999, mendakwa mengalami masalah kesihatan ketika berada di rumahnya, selain mendakwa telah membunuh ibunya di kediaman sama tiga tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button