Jenayah & Mahkamah

Warga emas didakwa tampar pemuda tidak berpuasa dilepas tanpa dibebaskan

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda kerana tidak berpuasa dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret A Shaarmini membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan bahawa pihaknya menerima arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

“Baru sebentar tadi saya menerima arahan daripada AGC untuk merujuk semula kes ini,” katanya menurut laporan BH online.

Terdahulu, Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di sebuah kedai serbaneka dalam pusat beli-belah di sini, pada pukul 3.45 petang, Ahad lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika fakta kes dibacakan, Abdul Razak membantah beberapa butiran yang dikemukakan pendakwaan.

“Masa tak betul. Saya tampar, tapi tak sampai lebam,” katanya lagi.

Majistret kemudian bertanya sama ada beliau mahu meneruskan perbicaraan, namun Abdul Razak tetap mengaku bersalah.

Susulan itu, Majistret menolak pengakuan tersebut kerana ia dibuat secara bersyarat.

“Saya terpaksa menolak pengakuan bersalah bersyarat kerana ia perlu dibuat tanpa syarat,” katanya lagi.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya berhujah mengenai jaminan tertuduh, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima arahan baharu daripada Pejabat Peguam Negara untuk mengklasifikasikan kes sebagai DNAA.

Majistret turut bertanya sama ada tertuduh akan didakwa semula dan pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan baharu akan dibuat selepas siasatan lanjut dijalankan.

Terdahulu, tertuduh hadir ke mahkamah pukul 8.52 pagi ditemani anak lelakinya, yang dilihat terkejut dengan keputusan mahkamah untuk merujuk semula kes ke AGC.

Kes itu mendapat perhatian selepas video insiden berkenaan tular di media sosial.

Dalam video itu, seorang pemuda didakwa makan secara terbuka di bulan Ramadan sebelum ditegur oleh seorang lelaki warga emas.

Berlaku pertikaman lidah apabila warga emas itu meminta pemuda berkenaan menunjukkan kad pengenalannya bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Pemuda tersebut enggan berbuat demikian, menyebabkan warga emas itu dikatakan menamparnya beberapa kali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button