Warga China ditahan bawa ketamin RM344,000 di KLIA
SEPANG – Seorang lelaki warga China ditahan di Balai Ketibaan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dikesan cuba menyeludup masuk dadah jenis ketamin bernilai lebih RM344,000, hujung bulan lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, suspek ditahan hasil operasi bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada 28 Oktober lalu.
“Lelaki itu disekat selepas imbasan terhadap bagasi miliknya mendapati terdapat imej mencurigakan. Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis ketamin.
“Bungkusan itu dibalut aluminium, ditutup dengan papan dan disembunyikan di bahagian pelapik kain dalam dua bagasi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, jumlah rampasan dianggarkan 6,884 gram dengan nilai pasaran melebihi RM344,000.
Zulkifli berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek ialah menyembunyikan dadah dalam ruang rahsia di dalam bagasi bagi mengelak dikesan pengimbas keselamatan.
“Suspek dan barang kes diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.
Beliau menambah, suspek telah dituduh di mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






