BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Warga asing maut dipukul ketika cuba ragut guru tadika di Cheras

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas dipukul orang awam ketika cuba melakukan jenayah ragut terhadap seorang wanita di kawasan perumahan berhampiran Batu 9, Cheras, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 11.10 pagi.

“Anggota dari Balai Polis Batu 9 Cheras bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan suspek telah meninggal dunia di lokasi kejadian, dipercayai akibat dipukul oleh orang awam.

Naazron berkata, si mati dipercayai suspek kes ragut, berkulit cerah, berketinggian kira-kira 160 sentimeter, memakai kemeja-T hitam dan seluar pendek hitam bercorak logo Adidas serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurut beliau, bedah siasat telah dijalankan pada hari sama, namun punca kematian masih dalam analisis makmal oleh pakar patologi.

Susulan kejadian, polis telah menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun pada pukul 7.46 malam hari sama bagi membantu siasatan.

“Kesemua individu itu telah direman enam hari hingga 28 Julai ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau jika tidak dihukum mati, penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau butiran identiti si mati diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ong Eng Yew di talian 012-696 6849 atau mana-mana balai polis berdekatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button