JENAYAH & MAHKAMAH

Ugut madu dengan gambar lucah: Ejen pelaburan mengaku tidak bersalah

MELAKA – Seorang wanita yang bekerja sebagai ejen pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas tiga pertuduhan melibatkan ugutan dan pemilikan gambar lucah terhadap madunya.

Tertuduh, Herni Sofini Omar, 53, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, memetik laporan Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Herni didakwa melakukan perbuatan mengaibkan mangsa, seorang guru berusia 45 tahun dengan menyebarkan gambar-gambar lucah melalui surat.

Dia turut didakwa menyampaikan ugutan jenayah kepada individu sama melalui surat tanpa nama yang menyembunyikan identiti.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sayang Selasih, Melaka pada 27 Mac 2025.

Selain itu, Herni juga didakwa menyimpan gambar lucah wanita sama di dalam telefon bimbit miliknya ketika berada di pejabat pegawai penyiasat jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada pukul 3 pagi, 2 Jun lalu.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509, Seksyen 506 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Baharudin Baharim memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM4,000 bagi kesemua pertuduhan.

Permohonan itu dibuat dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap, menyara empat anak termasuk tiga yang masih bersekolah serta baru menjalani pembedahan kanser dan telah ditinggalkan suami susulan kes tersebut.

Peguam turut memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah melarang pengadu daripada membuat sebarang kenyataan kepada media.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan bahawa tertuduh ditahan pada 2 Jun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki bagi siasatan berhubung laporan polis oleh madu beliau.

Menurut sumber, laporan polis dibuat selepas bapa kepada mangsa menerima sepucuk surat berisi gambar bogel anak perempuan dan menantunya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button