BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tujuh warga Indonesia dicekup ceroboh pelantar minyak

KUALA TERENGGANU – Cubaan tujuh lelaki warga Indonesia untuk mencuri di pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu gagal apabila mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pada Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, pihaknya menerima maklumat dari Petronas Security Group mengenai pencerobohan di pelantar minyak Tembikai (CPP TEMBIKAI), kira-kira 77 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada Rabu.

Menurut beliau, kru operasi pelantar mengesan pencerobohan dan melihat kelibat seseorang bersembunyi di bilik janakuasa ketika pemeriksaan rutin.

Bertindak atas maklumat itu, KM RAWA yang sedang dalam penugasan Op IMAN dikerahkan ke lokasi dan tiba pada pukul 9 malam, namun operasi terpaksa ditangguhkan kerana keadaan gelap serta ombak kuat.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid.

“Bagaimanapun, sekitar 11.30 pagi keesokan harinya, pasukan penggeledah berjaya menaiki pelantar dan menemui kabel yang dipotong, longgokan bateri, serta peralatan seperti pemotong kabel dan set spanar.

“Keadaan pelantar juga berselerak akibat dibongkar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut akhirnya membawa kepada penemuan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun yang bersembunyi di ruang ventilasi pelantar.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek dihantar ke pelantar menggunakan sebuah bot, namun bot itu melarikan diri sebaik melihat kehadiran kapal operasi,” katanya.

Antara barang-barang yang cuba dilarikan PATI warga Indonesia dalam pencerobohan di plantar minyak di perairan Terengganu, Khamis lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button