Titah Adendum patut dilaksana lebih awal, tidak boleh dipersoal – Shafee
PUTRAJAYA — Titah Adendum yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, sepatutnya dilaksanakan lebih awal.
Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan, terdapat sembilan kes terdahulu di Mahkamah Persekutuan yang memutuskan sebaik sahaja wujudnya titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, keputusan tersebut tidak boleh dicabar sama ada dari segi kesempurnaan dokumen atau keabsahan prosesnya.
“Sepatutnya Titah Adendum itu dilaksanakan. Kita ada sembilan kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Agung yang menyatakan, sebaik sahaja wujudnya titah oleh Yang di-Pertuan Agong, ia tidak boleh dipersoal. Sama ada dokumen itu sempurna atau tidak, itu tidak relevan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Baca juga : Shafee dakwa ada pihak cuba sembunyikan Titah Adendum YDPA ke-16
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pembelaan akan membangkitkan persoalan bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku susulan Titah Adendum itu tidak muncul lebih awal.
“Dari segi itu, kita boleh buat satu penemuan, yang lain adalah bertanya. Kita boleh bertanya ‘sisi lain’ untuk memberitahu apa yang benar-benar berlaku. Mengapa Titah Adendum itu tidak muncul selama ini? Jadi, itulah satu bahagian, bahagian yang sangat kritikal,” katanya.
Mengulas tindakan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini, Shafee berkata, tindakan itu tidak menyalahi undang-undang, namun tidak semestinya wajar.
“Mana-mana Peguam Negara ada hak untuk membuat keputusan sama ada untuk merayu atau tidak. Sama ada wajar atau tidak, itu bukan alasan untuk mengambil tindakan terhadapnya. Jika tidak, kita juga akan menjadi ‘monstrous’,” katanya.
Menurut beliau, walaupun Peguam Negara kini mengakui kewujudan Titah Adendum dan mahkamah masih menilai kesahihannya, cubaan untuk mencabar dokumen tersebut akan menimbulkan implikasi besar.
“Prosesnya sangat rumit kerana memerlukan pendedahan siapa yang berkata apa dalam Lembaga Pengampunan, apa nasihat yang diberi dan apa yang didengar serta diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Jelas Shafee, sebarang pendedahan perbincangan dalam Lembaga Pengampunan akan menjejaskan kerahsiaan badan itu, sekali gus menjejaskan keberkesanannya pada masa depan.
“Kita tidak mahu perkara ini berlaku kerana jika tidak, kita tidak akan ada Lembaga Pengampunan seterusnya. Tiada siapa mahu jadi ahli. Segala minit mesyuarat dan perbincangan akan terdedah.
“Kita berpendapat, perbincangan dalam Lembaga Pengampunan mestilah dirahsiakan, seperti perbicaraan oleh juri. Anda tidak boleh bertanya apa yang juri katakan seorang demi seorang. Itu akan merosakkan keseluruhan sistem keadilan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan itu membolehkan bekas Perdana Menteri itu meneruskan proses di Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan perintah tersebut.
Panel tiga hakim yang membuat keputusan itu diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan tujuh pihak sebagai responden iaitu Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia.
Antara relif yang dipohon Najib ialah supaya responden atau mana-mana seorang daripada mereka menyerahkan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








