Tidak wujud pihak ketiga, mohon hormati proses perbicaraan mahkamah – Nubhan
SEPANG – Bintang Akademi Fantasia musim keenam, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, menafikan wujudnya orang ketiga yang didakwa menjadi punca pergolakan rumah tangganya.
Menurut selebriti kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, dakwaan tersebut hanya spekulasi selepas tular berita dia melafazkan cerai terhadap isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
“Itu tidak benar sama sekali. Saya faham, isu perceraian saya ini mengejutkan ramai pihak dan kerana itu, timbul banyak spekulasi berkaitannya.
“Orang bebas membuat apa sahaja tanggapan. Cuma saya minta hormati proses mahkamah yang sedang berjalan.
“Ini bukan perkara yang ringan untuk saya. Jadi saya harapkan yang terbaik untuk kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, di sini hari ini.
Nubhan dan Afifah Hidayah hadir di mahkamah bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz cerai di hadapan hakim.
Mengulas lanjut, anak bongsu daripada lapan beradik itu berharap agar semua pihak mendoakan yang terbaik buat mereka.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Tinggal saja saya minta semua orang doakan kami. Saya tak dapat nak ulas lebih sebab ada banyak hati yang perlu saya jaga.
“Tiada siapa mahu perkara ini berlaku. Cuma saya tak boleh komen lebih kerana kes ini masih dibicarakan di mahkamah. Tolong hormati proses ini,” pintanya.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli memberitahu, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mendamaikan pasangan suami isteri itu.
“Sesi tadi tamat pada pukul 12 tengah hari untuk mahkamah lakukan perbicaraan atau siatan terhadap lafaz cerai yang dibuat.
“Walaupun wujud sedikit bantahan, ia telah pun diselesaikan sebentar tadi. Insya-Allah, kes ini tak ada masalah untuk diselesaikan pada 2 Disember nanti. Saya dan anak guam sedang usahakan jalan perdamaian, Insya-Allah.
“Kita masih dalam usaha untuk mengharmonikan kedua pihak. Kita harap mereka capai keputusan damai agar mereka dapat teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Pada prosiding yang berlangsung pagi tadi, Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan.
Nubhan dalam prosiding tersebut selaku plaintif diwakili Mohd Redzuan manakala pihak defendan, Afifah Hidayah diwakili oleh Akberdin.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








