BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tiada unsur jenayah, banduan maut selepas terjatuh di tandas pusat koreksional

ARAU – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang banduan di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka, selepas mangsa dipercayai terjatuh di bilik air pusat tahanan itu, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, hasil pemeriksaan awal doktor mendapati tiada kesan lebam atau kecederaan luaran yang mencurigakan, selain satu luka sepanjang tiga sentimeter di dahi kiri mangsa yang dipercayai akibat hentakan ketika terjatuh.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada organ dalaman, termasuk hati dan usus.

Menurutnya, banduan berusia 23 tahun itu ditemui dalam keadaan separa sedar sekitar jam 5.45 petang, Khamis lalu, sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, untuk rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.20 pagi semalam ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa berasal dari Ulu Melaka, Langkawi itu ditahan sejak 17 Disember lalu atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia sedang menunggu tarikh keputusan mahkamah sebelum insiden ini berlaku,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut mengesahkan tiada sebarang kesan yang menunjukkan mangsa menjadi mangsa serangan seksual.

Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button