
Terpedaya kontrak tidak wujud, kontraktor pembinaan rugi RM107,000
JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor pembinaan berputih mata apabila kerugian RM107,000 selepas terpedaya dengan tawaran kontrak tidak wujud melalui dalam talian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa seorang lelaki berusia 50 tahun membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru selepas menyedari ditipu.
Katanya, mangsa menerima tawaran kontrak kerja daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menghubunginya dan memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat jualan dalam talian.
“Mangsa telah ditawarkan peluang perniagaan dengan keuntungan yang besar tanpa memerlukan modal dan memuat turun aplikasi jual beli secara online.
“Mangsa kemudian mendaftar akaun di aplikasi itu untuk menerima tempahan kerja yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, melalui tawaran pada 17 Disember lalu, mangsa ditawarkan dua tempahan kerja iaitu pembekalan pelitup muka bernilai RM125,00 dan tempahan kedua RM2,252.
“Mangsa telah diminta untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebelum kontrak tempahan diluluskan dengan dijanjikan keuntungan sebanyak RM13,648 serta tempahan lain.
“Mangsa kemudian membuat empat transaksi pemindahan wang secara atas talian dari akaun peribadinya ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek,” katanya.
Tidak cukup dengan itu katanya, mangsa telah diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM178,760 sebelum dalam mengeluarkan keuntungan.
“Selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis dan hasil semakan portal Semak Mule Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mendapati dua daripada empat akaun bank terlibat mempunyai rekod laporan polis berkait penipuan dalam talian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |