Terkandas di Bukit Larut, 8 pendaki berjaya diselamatkan
TAIPING – Lapan pendaki berdepan detik cemas selepas terkandas di kawasan Bukit Larut di sini semalam, apabila tiga daripada mereka mengalami kecederaan ketika dalam perjalanan turun dari puncak.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.53 petang, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bergegas ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.
Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati terdapat lapan mangsa terdiri daripada enam wanita dan dua lelaki.
Tujuh daripada mereka masih berada di atas bukit, manakala seorang lelaki telah turun ke kaki bukit untuk mendapatkan bantuan.
Pasukan penyelamat bersama polis dan pihak pengurusan Bukit Larut kemudian bergerak ke kawasan bukit selepas melakukan penilaian awal di lokasi.
“Sewaktu dalam perjalanan, pasukan penyelamat bertemu semua mangsa yang sedang dibantu seorang orang awam untuk menuruni bukit.
“Dua wanita mengalami kekejangan kaki manakala seorang lagi terseliuh. Empat mangsa lain termasuk seorang lelaki tidak cedera,” menurut kenyataan itu.
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum semua mereka dibawa turun dengan selamat ke kaki bukit dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat yang diketuai oleh 10 anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.50 malam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






