JENAYAH & MAHKAMAH

Tempoh reman lelaki Israel miliki 6 pistol disambung

KUALA LUMPUR – Tempoh reman seorang lelaki Israel yang ditahan kerana memiliki enam pucuk pistol bersama 200 butir peluru disambung selama tujuh hari lagi bermula hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, reman terhadap Shalom Avitan, 38, disambung selepas tempoh tahanan reman ke atasnya sebelum ini berakhir, hari ini.

“Permohonan sambung reman terhadap Shalom dibuat bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan secara terperinci.

“Kita masih memerlukan sedikit masa dalam mengumpulkan segala bukti kukuh berkaitan suspek utama (Shalom) dan pasangan suami isteri warga tempatan yang turut disambung reman pada Jumaat lalu,” katanya kepada portal Sinar Harian, hari ini.

Buat masa ini, katanya, pihaknya masih meneliti motif dan tujuan utama Shalom memiliki senjata api terbabit.

“Selain itu siasatan juga masih dibuat terhadap kesemua 15 individu yang masih ditahan termasuk Shalom dan pasangan suami isteri warga tempatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, salah seorang suspek berperanan sebagai pemandu kepada Shalom yang ditahan di Cameron Highlands pada 29 Mac lalu, sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai..

“Secara keseluruhan, jumlah individu yang ditahan pada masa ini adalah seramai 15 orang termasuk dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia,” katanya.

Shalom ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Siasatan awal oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB) mendapati Shalom yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport Perancis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button