
Telefon bimbit Chegu Bard, Papagomo dan Salim Iskandar disita
CYBERJAYA – Telefon bimbit milik Chegu Bard, Papagomo, dan Salim Iskandar disita bagi membantu siasatan laporan kandungan di media sosial yang didakwa tidak benar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, peranti milik ketiga-tiga individu itu disita ketika mereka hadir untuk dirakam percakapan hari ini.
“Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin dan Mohamad Salim Iskandar dirakam percakapan di Pejabat MCMC Cyberjaya manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo di Balai Polis Setapak.
“Penyebaran kandungan tidak benar dengan niat mengganggu pihak lain adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC turut memaklumkan, pegawai penyiasat menyita telefon bimbit milik ketiga-tiga individu tersebut yang digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara sejurus siasatan dilengkapkan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |