Tandas terbiar di hutan jadi makmal proses dadah
GEORGETOWN – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menjadikan sebuah tandas terbiar di kawasan hutan Cangkat Bukit Gambir, Gelugor, di sini sebagai ‘makmal’ memproses dadah jenis heroin.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu lokasi terbabit dalam operasi pada pukul 5 petang semalam, yang membawa kepada rampasan heroin bernilai RM51,370.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hasil risikan selama beberapa minggu.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah termasuk sebuah kotak kertas coklat bertulisan ‘Luzhou Laojiao Touqu’ mengandungi heroin seberat 5.35 kilogram.
“Maklumat awal mendapati sindiket ini mula aktif sejak awal Disember tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Rozak berkata, jumlah heroin yang dirampas mampu menampung keperluan seramai 26,755 penagih sekiranya ia berjaya dipasarkan.
“Suspek yang ditahan turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine berdasarkan ujian air kencing.
“Semakan lanjut mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 8 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, polis kini giat mengesan saki-baki anggota sindiket bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah dapat dibanteras sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






