
Syed Saddiq kecewa prosiding rayuan ditangguh lagi
PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Abdul Rahman menzahirkan rasa kecewa susulan penangguhan kes rayuannya dalam mengenepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau tetap menghormati keputusan mahkamah dan mendoakan kesihatan pendakwa raya yang tidak dapat meneruskan hujahan kerana mengalami sakit tekak semasa prosiding hari ini.
“Saya telah disiasat sejak 2020 dan selepas didakwa, tidak pernah sehari pun saya menangguhkan kes mahkamah dan akan hadir untuk prosiding walaupun sakit.
“Saya berharap dua hari yang ditetapkan itu adalah pengakhiran dan walaupun kecewa saya faham kalau sudah sakit tiada apa yang boleh dilakukan
“Saya cuma berharap kes ini tidak akan ditangguhkan lagi dan keadilan akan menang. Saya doakan yang terbaik dan pihak pendakwa raya sihat secepat mungkin,” katanya dalam satu sidang media di Istana Kehakiman hari ini.
Terdahulu, semasa prosiding di hadapan panel tiga hakim hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan tidak dapat meneruskan hujahan kerana mengalami sakit tekak.
Pendengaran di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung lagi pada 17 April ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |