
Syed Saddiq bebas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan dan melepaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada semua pertuduhan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan sebulat suara bahawa berlaku kesilapan serius dalam penghakiman asal yang memerlukan campur tangan mahkamah.
“Kami berpendapat sabitan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak selamat dan tidak boleh dikekalkan,” kata Hakim Noorin ketika membacakan keputusan penghakiman.
Mahkamah turut memerintahkan agar semua hukuman termasuk penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta dibatalkan dan wang jaminan serta pasport antarabangsa dikembalikan kepada Syed Saddiq.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan, iaitu satu pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan dana RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta melibatkan wang tunai RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing membabitkan RM50,000.
Pendakwaan ketika itu berhujah bahawa wang tersebut digunakan bagi kepentingan peribadi dan tidak melalui prosedur rasmi.
Namun, pihak pembelaan mempertahankan bahawa dana terbabit digunakan untuk tujuan sah seperti aktiviti dan bantuan masyarakat oleh sayap Pemuda Bersatu (Armada) semasa beliau menjadi Ketua Armada.
Peguam Syed Saddiq, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, berhujah bahawa terdapat kekhilafan fakta dan undang-undang dalam penghakiman asal termasuk kegagalan mengambil kira keterangan saksi utama secara menyeluruh.
“Tiada bukti yang menunjukkan anak guam kami menyalahgunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi. Malah sebahagian besar dana telah digunakan semula untuk program Armada,” kata Hisyam.
Syed Saddiq yang hadir di mahkamah kelihatan tenang sepanjang prosiding dan melahirkan rasa syukur selepas dibebaskan.
“Kebenaran akhirnya terbukti. Saya akan terus berjuang demi rakyat,” katanya ringkas kepada pemberita.
Pembebasan itu sekali gus memberi nafas baharu kepada kerjaya politik beliau dan membuka peluang untuk lebih aktif dalam arena politik tanah air.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |