BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Suspek rempuh polis hingga maut ada 77 rekod jenayah

ALOR SETAR – Seorang daripada empat suspek kes pecah rumah yang merempuh anggota polis hingga maut dalam kejadian di Taman Golf, di sini hari ini, memiliki 77 rekod jenayah lampau, membabitkan kes pecah rumah, curi kenderaan dan dadah.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 26 tahun itu merupakan antara empat lelaki berasal dari Johor yang ditahan selepas terlibat dalam kejadian tersebut.

“Walaupun masih muda, dia memiliki sebanyak 77 rekod jenayah lampau. Seorang lagi suspek mempunyai 30 rekod, manakala dua lagi masing-masing ada enam dan dua rekod.

“Ini menunjukkan kumpulan ini sememangnya aktif melakukan jenayah dan kita masih menyiasat sama ada mereka datang ke Kedah untuk tujuan jenayah atau secara rawak,” katanya kepada media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, anggota polis, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, maut selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus yang digunakan kumpulan penjenayah berkenaan ketika cuba melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati rumah yang dipecah masuk tidak berpenghuni ketika kejadian, dan cubaan suspek untuk melarikan sebuah peti besi turut gagal.

“Kenderaan digunakan pula dipercayai memakai nombor pendaftaran palsu.

“Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada kumpulan terbabit mempunyai kaitan dengan kes jenayah lain di negeri ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button