JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek pukul anak saudara dengan tukul ditemukan mati tergantung, terbabit salah guna dadah

BACHOK – Polis mengesahkan suspek yang bertindak memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dengan tukul hingga parah, mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan mengalami halusinasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 46 tahun itu merupakan bapa saudara mangsa.

“Selepas kejadian, suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal sebelum ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok rhu di Pantai Melawi sekitar jam 8.30 malam.

“Pemeriksaan mendapati suspek pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan dipercayai mengalami halusinasi ketika kejadian,” memetik laporan BH online.

Menurutnya, mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam masa sama, polis turut menahan isteri suspek berusia 36 tahun bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, dilaporkan masih kritikal selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat kira-kira jam 5.15 petang, Khamis.

Keluarga mangsa sebelum ini turut memohon orang ramai mendoakan kesembuhan serta keajaiban buat kanak-kanak tersebut yang masih dirawat di hospital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button