Suspek kurung remaja dua beradik dicabul berjaya ditahan
KUALA LUMPUR – Tindakan berani salah seorang remaja dua beradik melarikan telefon bimbit milik lelaki yang mengurung mereka di sebuah hotel di Jalan Sultan di sini membawa kepada penahanan suspek.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan remaja 16 tahun dari Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam yang hilang sejak 1 Januari lalu itu berjaya ditemui pada malam Khamis.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang bersama abangnya dipercayai dikurung di sebuah hotel oleh individu yang tidak dikenali.
Menurut ibu remaja berkenaan, kedua-dua anaknya itu dikurung oleh suspek sebelum dipisahkan pada 9 Januari.
Katanya, anak sulong yang masih dalam tahanan suspek di hotel berkenaan berjaya melarikan diri ketika suspek tertidur selepas mengambil dadah.
Dalam kejadian itu katanya, anak lelaki yang dipanggil Along itu juga sempat melarikan telefon milik suspek untuk menghubungi beliau dan memaklumkan lokasi keberadaannya.
“Along (anak) berjaya melarikan diri ketika lelaki berkenaan sedang tidur. Selepas memaklumkan kepada polis, suspek kemudian ditahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes mengurung remaja berkenaan ditahan di lokasi yang dimaklumkan remaja berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Allaudeen, individu yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat berhubung kejadian ini di talian Hotline Polis Kuala Lumpur 03- 21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





