
Suspek kelar isteri hingga maut direman 7 hari
TANGKAK – Seorang penganggur yang disyaki mengelar isterinya dengan menggunakan pisau pemotong sayur hingga maut di Taman Cahaya, Bukit Gambir di sini kelmarin, direman tujuh hari.
Perintah reman terhadap suspek berusia 33 tahun dikeluarkan oleh Majistret Lee Kim Keat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 320 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan, memetik laporan Harian Metro.
Terdahulu, suspek tiba di perkarangan mahkamah pada 8.20 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu sambil dikawal ketat polis.
Sejurus keluar dari mahkamah, suspek hanya tersenyum sebelum dibawa masuk ke dalam lori untuk ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak bagi tahanan sementara.
Dalam kejadian antara 4.15 hingga 4.30 petang, 2 Jun lalu, suspek disyaki mengelar isterinya berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani hingga maut di sebuah taman perumahan di Bukit Gambir, di sini.
Sebaik mengelar isteri, suspek kemudian melarikan diri ke rumah keluarga mentuanya di Kampung Durian Chondong, di sini, lalu bertindak membakar kenderaan.
Namun, difahamkan, tindakan suspek disedari ahli keluarga mentua terbabit sebelum lelaki itu melarikan diri dan pulang ke rumahnya.
Bertindak atas maklumat diperolehi, polis berjaya menahan suspek di rumahnya pada 7 pagi semalam bagi membantu siasatan.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek pula mendapati dia bebas daripada bahan terlarang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |