BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Suri rumah rugi lebih RM500,000 diperdaya skim pelaburan palsu secara bersemuka

GEORGE TOWN – Seorang suri rumah mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan yang dijalankan secara bersemuka di Seberang Perai Utara sejak dua tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, mangsa berusia 57 tahun itu tampil membuat laporan semalam selepas menyedari telah ditipu susulan kegagalannya mendapatkan semula wang pelaburan dan keuntungan yang dijanjikan.

Mangsa memaklumkan pada tahun 2022, dia telah diperkenalkan oleh jirannya kepada seorang wanita yang mendakwa mewakili satu skim pelaburan dengan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Wanita tersebut mendakwa pelaburan itu menjanjikan keuntungan sekali ganda daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan dan memberikan penerangan meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa melakukan sebanyak 51 transaksi pemindahan wang berjumlah RM521,450 ke dalam lima akaun bank berbeza antara 4 Mac 2022 hingga 22 Januari 2024.

Bagaimanapun, apabila cuba mendapatkan semula keuntungan seperti yang dijanjikan, mangsa hanya menerima pelbagai alasan daripada suspek termasuk kononnya pelaburan itu belum matang dan wangnya disimpan selamat di Bank Negara Malaysia.

“Mangsa juga diminta membuat pelbagai bayaran tambahan seperti bayaran kepada Bank Negara dan yuran guaman untuk mendapatkan kembali modal dan keuntungan,” jelas Hamzah.

Susulan laporan yang diterima, polis kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu, termasuk usaha mengesan individu-individu yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button