BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM tahan reman tiga individu disyaki terlibat rasuah penyenggaraan sungai di Kedah

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah badan berkanun milik kerajaan kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan kerja-kerja penyenggaraan sungai di sebuah daerah di Kedah.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an.

Mereka ditahan kira-kira pukul 6 petang, Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada Selasa, di mana Majistret Eliana Ismail mengeluarkan perintah reman selama tiga hari bermula 15 April hingga 17 April 2025 bagi membantu siasatan.

“Suspek utama merupakan Timbalan Ketua Eksekutif badan berkanun berkenaan dan dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2019,” kata sumber tersebut.

Difahamkan, suspek disyaki menerima sejumlah wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik isterinya sebagai balasan meluluskan projek kerja penyelenggaraan sungai di daerah terbabit.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button