BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM tahan reman 12 individu terlibat rasuah pendaftaran kelahiran

PUTRAJAYA – Seramai 12 individu yang dipercayai terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bukan warganegara kepada warganegara serta penggunaan dokumen sokongan palsu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malaysia Tribune difahamkan, perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya dan Shah Alam selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di Putrajaya, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan reman empat dan lima hari terhadap dua lelaki berusia lingkungan 20 dan 40-an.

Sebahagian daripada 12 individu yang direman SPRM berkait kes rasuah pendaftaran kelahiran bukan warganegara.

Sementara itu, di Shah Alam, Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan reman lima hari terhadap 10 suspek lain, terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita berusia 20 hingga 50-an.

Menurut sumber, seramai 16 individu ditahan antara jam 11 pagi hingga 8 malam semalam menerusi Op Outlander dan Op Birth di sekitar Lembah Klang dan Johor.

“Suspek terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang, beberapa ejen serta pemohon daftar kelahiran.

“Kesemua mereka dipercayai melakukan perbuatan ini antara 2013 hingga 2018 serta 2023 hingga 2025, dengan menerima dan memberi rasuah selain menyediakan serta mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, empat lagi suspek, termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, telah dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas keterangan mereka selesai dirakamkan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button