JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM siasat aktiviti penyeludupan barangan berbahaya di KLIA

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan membuka satu kertas siasatan berhubung kegiatan penyeludupan barangan berbahaya di pintu masuk utama negara.

Difahamkan, kes penyeludupan yang dipercayai berlaku menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu mempunyai unsur rasuah, lapor BH Online yang memetik sumber.

“Maklumat membabitkan kegiatan penyeludupan itu diterima pada awal tahun ini dan susulan itu, SPRM membuka satu kertas siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, barangan berbahaya termasuk bahan kimia itu diseludup masuk dengan diikrarkan sebagai produk isi rumah,” katanya.

Menurut sumber, kegiatan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan terutama kejadian dua kebakaran yang berlaku pada tahun lalu.

Katanya, SPRM sedang menyiasat syarikat dan pihak terbabit termasuk mengenal pasti isu kelemahan tata kelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah diseludup masuk.

“SPRM berkemungkinan akan memanggil pihak tertentu untuk tujuan siasatan,” katanya.

Difahamkan, SPRM juga akan mengadakan kerjasama dengan pengurusan KLIA termasuk agensi penguat kuasa berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button