JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM sekali lagi sita Menara Ilham

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, sitaan bangunan dipercayai milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun.

“Menerusi notis ini, kebenaran sitaan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) di mana Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh Pegawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan di bawah subseksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

“Sehubungan itu, adalah diperintahkan bangunan Menara Ilham disita oleh pegawai penyiasat SPRM dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang dan kegagalan untuk mematuhi notis ini merupakan suatu kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001,” kata kenyataan itu, hari ini.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua bangunan tersebut disita SPRM.

Kali pertama sitaan berlaku adalah pada tahun 2023, dan dibuat mengikut Akta SPRM 2009.

Menara Ilham siap dibina pada 2015, juga dikenali sebagai Menara IB singkatan Ilham Baru, menempatkan hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button