JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM bekukan aset lebih RM750 juta milik keluarga Tun Daim

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan aset bernilai lebih RM750 juta yang dikaitkan dengan keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Tindakan itu diambil sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap perolehan aset di luar negara oleh keluarga beliau.

Menurut kenyataan SPRM, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“SPRM juga sedang menjalankan penyelidikan jejak kewangan (money trail) di luar negara dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa,” memetik laporan The Star.

Keluarga Tun Daim, termasuk isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak mereka, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan tindakan SPRM membekukan akaun bank mereka.

Menuur sumber, mereka juga memohon perintah untuk membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih yang dikenakan mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA.

“Mereka menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan tersebut.

“Keluarga Tun Daim mendakwa tindakan pembekuan dan penyitaan aset tersebut melanggar hak perlembagaan mereka dan didorong oleh niat jahat” menurut sumber itu lagi.

Salain itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menyatakan akan membantah permohonan semakan kehakiman tersebut. Pendengaran permohonan itu dijadualkan pada 8 Ogos ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan terhadap keluarga Tun Daim bermula pada Februari 2023 selepas pendedahan dalam Pandora Papers.

“SPRM telah mengeluarkan notis kepada Allahyarham Tun Daim pada Jun 2023 untuk mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara.

“Bagaimanapun, beliau memohon lanjutan sebanyak lima kali untuk melengkapkan pengisytiharan tersebut,” seperti yang dilaporkan.

SPRM turut berkata, siasatan terhadap keluarga Tun Daim akan diteruskan bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan aset negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button