
Sindiket seludup PATI dikesan, 18 individu ditahan di Cheras
KAJANG – Seramai 18 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan Batu 11, Cheras, kelmarin.
Menurut Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari, operasi Op Taring Delta dilancarkan pada pukul 2.50 petang oleh anggota Batalion 4 PGA susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Hasil serbuan membawa kepada penahanan 21 individu, terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan 18 warga asing, termasuk tujuh wanita dari Indonesia.
“Kebanyakan warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah, sekali gus mengukuhkan terhadap kegiatan penyeludupan migran.
“Tiga lelaki tempatan turut ditahan dipercayai berperanan sebagai penggerak utama dalam urusan pemindahan PATI keluar masuk melalui laluan tidak sah.
“Mereka dipercayai sebagai penghantar yang menguruskan pergerakan migran secara haram menggunakan laluan tikus bagi mengelakkan kawalan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut disita dalam operasi tersebut ialah dua buah kereta dan lima telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM82,000.
“Barang rampasan dipercayai digunakan dalam mengatur logistik bagi aktiviti penyeludupan tersebut.
“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selain turut melibatkan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak berkuasa menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam rangkaian penyeludupan migran, sambil memberi amaran bahawa penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang jenayah rentas sempadan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |