BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket seleweng diesel raih RM400 juta di Sibu, 5 individu direman

SIBU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua beradik pengusaha stesen minyak yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan.

Majistret Mahkamah Majistret Sibu, Romaroi Jonoi membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an direman selama empat hari manakala adik perempuannya berusia sekitar 30-an direman selama satu hari selepas permohonan dibuat SPRM hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan bersama dua lagi lelaki serta seorang wanita dalam Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM semalam.

Operasi turut disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh simpanan minyak diesel di Sungai Bidut, di sini.

Suspek kes penyelewengan diesel bersubsidi dan rasuah penguatkuasa dibawa untuk direman SPRM di Mahkamah Sibu hari ini.

Katanya, kelima-lima suspek dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi yang diperolehi dari persatuan nelayan namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

“Sindiket dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

“Mereka juga disyaki membayar wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya.

Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel.

Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan terhadap kelima-lima suspek berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap dua beradik berkenaan bersama dua lagi lelaki dan wanita dalam operasi diadakan semalam.

Bagaimanapun, dua lelaki dan seorang wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Suspek kes penyelewengan diesel bersubsidi dan rasuah penguatkuasa dibawa untuk direman SPRM di Mahkamah Sibu hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button