BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket penyeludupan imigran tumpas di Ampang

AMPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket ejen penyeludupan dalam operasi khas yang dijalankan di Ampang, Selangor, petang kelmarin.

Operasi tersebut turut menyelamatkan beberapa pendatang tanpa izin yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada pukul 4.52 petang itu melibatkan pegawai dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Hasil risikan dan maklumat awam, pasukan operasi berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang digunakan oleh seorang transporter untuk mengangkut pendatang tanpa izin.

“Pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan itu merupakan seorang wanita warganegara Indonesia, manakala dua lelaki Indonesia yang baru tiba turut berada dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Turut diperiksa, empat lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia yang berada di kawasan parkir berdekatan, dipercayai menunggu untuk menaiki kenderaan yang sama bagi dihantar pulang melalui pintu yang tidak diwartakan.

Selain itu, pemeriksaan ke atas sebuah premis yang dijadikan rumah penampungan atau transit bagi imigran larangan menemui seorang wanita dalam keadaan tidak berdaya.

Mangsa dipercayai telah diserahkan oleh majikannya kepada ejen haram untuk dihantar pulang ke negara asal.

Pasukan operasi turut menemui beberapa naskhah pasport milik individu lain di bilik ejen haram tersebut.

Menurut Zakaria, sindiket itu menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan menghantar imigran larangan pulang dengan bayaran mencecah RM4,500 seorang melalui laluan haram.

“Ejen haram atau transporter yang menguruskan aktiviti ini kebanyakannya warganegara Indonesia, manakala imigran yang menjadi mangsa sindiket diambil dari sekitar Johor dan Negeri Sembilan.

“JIM telah memulakan siasatan terhadap kes ini di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

“Jika disabitkan kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun penjara serta hukuman sebatan bagi kesalahan lebih berat,” katanya.

JIM menyeru masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat mengenai jenayah pemerdagangan orang.

Sebarang aduan atau maklumat boleh disampaikan kepada Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA menerusi talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button