Sindiket penyeludupan, bocor maklumat ketenteraan tumpas, 5 pegawai kanan ATM ditahan
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penyeludupan dipercayai turut membocorkan maklumat operasi ketenteraan, membabitkan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam serbuan besar-besaran di selatan tanah air, baru-baru ini.
Operasi bersepadu Op Sohor itu hasil risikan selama 12 bulan dengan kerjasama Bahagian Perisikan ATM dan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Serbuan pada pukul 6.30 pagi di sekitar Lembah Klang itu turut menahan lima orang awam termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Dua daripada pegawai terbabit adalah bekas anggota bahagian perisikan ATM.
Mereka dipercayai bersekongkol sejak lima tahun lalu, menerima imbuhan antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan barangan larangan seperti dadah, rokok dan minuman keras dari negara jiran dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5 juta sebulan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana membabitkan ancaman serius kepada keselamatan negara.
“Walaupun pelbagai agensi bekerjasama melakukan pemantauan, penyeludupan tetap berlaku dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya.
SPRM turut merampas wang tunai RM63,000, dadah, senjata tiruan, minuman keras, alat penimbang dan penyukat.

Dalam operasi itu, seorang wanita Indonesia tanpa dokumen sah dipercayai pasangan simpanan salah seorang pegawai turut ditahan.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








