Sindiket ejen haram tumpas, Imigresen rampas ratusan pasport
SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket ejen haram yang membekalkan pekerja asing dalam operasi khas di tiga lokasi sekitar Lembah Klang semalam.

Serbuan yang bermula pukul 11.05 pagi itu adalah hasil risikan selama tiga minggu serta maklumat awam.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan di Taman Kemuning Utama, Shah Alam, Taman Pandan Cahaya, Ampang dan Jalan Datuk Eusoff, Kuala Lumpur membawa kepada penahanan 17 individu.
Daripada jumlah itu, enam adalah warga asing, terdiri daripada lima lelaki Bangladesh dan seorang warga Pakistan berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Salah seorang warga Bangladesh yang ditahan dipercayai bertindak sebagai majikan kepada pekerja asing terbabit.
“Pemeriksaan mendapati seorang memiliki pas sah, seorang lagi tinggal melebihi tempoh, manakala dua individu melanggar syarat pas mereka. Dua lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JIM turut merampas 394 pasport Bangladesh, enam pasport Indonesia, dua pasport India, sembilan pasport Pakistan, satu pasport Filipina, tiga unit telefon bimbit, cop syarikat, wang tunai RM12,550 serta sebuah kenderaan Honda Insight Hybrid yang dipercayai digunakan bagi tujuan jenayah tersebut.
Menurut Zakaria, sindiket ini mengenakan bayaran RM8,000 bagi setiap pekerja asing yang dibekalkan kepada majikan yang telah disenarai hitam daripada memohon kuota pekerja asing.
Mereka juga menawarkan perkhidmatan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan caj RM4,000 hingga RM6,000 setahun bagi setiap pekerja.
Sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mengambil kesempatan atas kelemahan majikan yang memerlukan pekerja asing dengan segera.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
JIM menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan haram yang melanggar undang-undang imigresen negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






