
Sindiket edar dadah tumpas, polis tahan bapa dan dua anak di Muar
MELAKA – Polis Melaka berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai ketua sindiket itu bersama dua anaknya dalam serbuan di kediaman mereka di Muar, Johor.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Nazri Zawawi berkata, dua anak suspek masing-masing berusia 20 tahun seorang pelajar kolej dan 17 tahun seorang pelajar tingkatan lima.
“Serbuan dilakukan beberapa hari lalu oleh sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin. Hasil operasi, kami merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM560,000,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, antara rampasan termasuk 23,372 gram heroin, 10,200 gram methamphetamine dan 275 biji pil Erimin 5.
Selain itu, aset milik suspek dianggarkan bernilai RM56,000 turut disita.
Nazri berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak pertengahan 2024 dan beroperasi di sekitar Johor serta Melaka.
“Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh membekalkan kira-kira 442,860 penagih,” katanya lagi.
Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan polis berjaya membanteras sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di Muar dan Jasin.
“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah,” katanya lagi.
Namun, semakan rekod jenayah mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari hingga 2 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |