JENAYAH & MAHKAMAH

Siasatan program eHATI, polis fokus 3 kesalahan

SHAH ALAM – Siasatan polis terhadap program motivasi rumah tangga eHATI ditumpukan kepada tiga jenis kesalahan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes itu kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 294 dan 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

“(Ini bagi membolehkan) Siasatan secara teliti bagi mengenal pasti kewujudan seberang elemen lucah atau ajaran yang menyimpang daripada norma masyarakat seperti yang didakwa.

“Siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek dan dakwaan dapat dinilai dengan adil,” katanya, hari ini.

Seksyen 294 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan lucah di tempat awam manakala Seksyen 504 kanun sama pula sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Sementara itu, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 pula merujuk kepada kesalahan berkelakuan kurang sopan atau membuat kenyataan yang kurang sopan yang bertujuan untuk membangkitkan kemarahan.

Hussein kemudiannya menambah, semua peserta yang hadir dalam program tersebut akan dipanggil untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada dan berhati-hati dalam menyertai mana-mana program, aktiviti atau bengkel tidak jelas tujuannya serta tidak diketahui latar belakang penganjurnya.

“Buat semakan dan rujukan terlebih dahulu sebelum mengambil bahagian agar tidak terjebak dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang atau nilai moral masyarakat,” katanya lagi.

Laporan media semalam menyebut, polis telah membuka satu kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berhubung program berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button