
Siasatan kes buli UPNM di bawah seliaan Kementerian Pertahanan – Zambry Abd. Kadir
KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap pelajar yang disyaki terlibat dalam kes dera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dilakukan oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, bidang kuasa itu terletak pada kementerian terbabit kerana pelajar terlibat merupakan pelajar di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) yang berada di bawah seliaan Kementerian Pertahanan.
“Yang itu Menteri Pertahanan akan maklumkan sebab ia berada di dalam bidang kuasa akademi latihan ketenteraan kerana ALK berada di bawah Kementerian Pertahanan.
“Tapi dalam konteks umum, apa sahaja yang melibatkan buli, tindakan yang agak kasar dan keterlaluan perlu diambil perhatian semua pihak termasuk di peringkat kolej, universiti dan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid UPNM bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Media kelmarin melaporkan seorang pegawai kadet ALK UPNM menjadi mangsa buli pelajar senior sehingga mengalami kelecuran pada bahagian dada akibat tekapan sterika.
Perbuatan itu dipercayai terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesankecederaan pada tubuh mangsa.
Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di ALK UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
Sebelum ini, enam penuntut UPNM dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah melakukan buli sehingga menyebabkan kematian pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |