
Sesat, seleweng dari ajaran Islam: Mahkamah Persekutuan benar rayuan SIS Forum batal fatwa MAIS
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum dalam pertikaian mengenai fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang dikeluarkan pada 2014.
Keputusan diumumkan oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat melalui penghakiman majoriti membenarkan rayuan akhir SIS Forum dan dua yang lain untuk mencabar keabsahan fatwa berkenaan, memetik laporan Buletin TV3.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Fatwa yang diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, mana-mana individu, dan kumpulan yang mengamalkan fahaman menyeleweng liberalisme dan pluralisme, menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ia juga menyatakan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural terhadap Islam hendaklah diharamkan dan dirampas serta mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menapis laman web sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.
Tengku Maimun dalam penghakiman ringkasnya berkata, fatwa itu bagaimanapun sah setakat mana ia merujuk kepada mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Beliau berkata, ia juga adalah sah setakat mana ia merujuk kepada mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
“Berdasarkan alasan-alasan yang kami nyatakan di dalam penghakiman penuh, kami mengetepikan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan membenarkan rayuan perayu-perayu setakat mana ia berkait dengan pemakaian fatwa tersebut kepada pertubuhan dan institusi dan setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan perintah terperinci adalah sebagaimana diperturunkan di dalam alasan penuh penghakiman”, katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |