BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket seleweng diesel subsidi guna ‘Fleet Card’ tumpas

SHAH ALAM – Cubaan sindiket seleweng diesel bersubsidi menggunakan ‘fleet card’ tumpas dalam serbuan di sebuah stor haram di Taman Sri Muda, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, sindiket terbabit menggunakan kad fleet sah milik syarikat untuk membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Shah Alam sebelum dipindahkan ke lori tangki di stor tersebut.

“Lori tangki yang digunakan telah diubah suai dan disambungkan dengan hos dari lori ‘bonded’ yang dipasang tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC).

“Premis ini tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan barang kawalan, manakala semua pemandu yang ditahan juga tidak memiliki dokumen pemilikan bahan api,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Hasil operasi, membawa kepada penyitaan sembilan kenderaan termasuk sebuah lori tangki berkapasiti 30 tan, empat lori kanvas, dua lori ‘bonded’, sebuah van, dan sebuah lori jenis ‘prime mover’.

Serbuan sekitar pukul 7 malam itu hasil kerjasama KPDN Selangor dan IPK Selangor selepas risikan selama sebulan membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia 30 hingga 45 tahun.

Salah seorang suspek, Rav, mengaku sebagai ketua kepada empat pemandu lori lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Saya uruskan lori tangki dengan membawanya dari stor ke lokasi tertentu di Shah Alam. Selepas itu, orang lain akan datang ambil lori tersebut.

“Saya dibayar RM200 sehari dan baru enam bulan bekerja di sini. Stor ini disewa oleh ketua saya bernama Ong dengan bayaran RM2,000 sebulan,” katanya.

Pihak berkuasa turut merampas 7,000 liter diesel bernilai kira-kira RM19,390 bersama 14 unit tangki IBC, pam dan beberapa hos penyambung yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

“Minyak diesel subsidi ini dipindahkan ke dalam tangki besar di stor sebelum diedarkan ke pasaran gelap untuk keuntungan berganda,” ujar Zuhairi.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan. Kegiatan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

KPDN menyeru orang awam menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan berkaitan barang kawalan di kawasan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button