
Seorang maut, tiga cedera dalam insiden tembak – KP Selangor
SHAH ALAM – Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tembak di kawasan perairan berhampiran pantai Morib, Kuala Langat, Selangor, awal pagi tadi.
Laporan BH Online yang memetik Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebagai berkata, identiti individu terbunuh itu belum dikenalpasti manakala tiga yang cedera dipercayai warga Indonesia.
“Mangsa terdiri daripada lima lelaki di mana seorang daripada mereka disahkan mati di tempat kejadian, manakala tiga lagi mengalami kecederaan.
“Seorang yang cedera dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang,” katanya dalam laporan tersebut, hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut termasuk bagi mengenalpasti punca kejadian sedang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Sepang.
Difahamkan, kejadian ini mempunyai kaitan dengan insiden tiga lelaki dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, dipercayai cedera akibat terkena tembakan, pagi tadi.
Turut difahamkan, ketiga-tiga mangsa itu dihantar ke unit kecemasan hospital oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios, pada pukul 7.30 pagi tadi.
Ketika ditanya, semua individu terbabit dipercayai warga Indonesia memberikan alasan yang bercanggah mengenai kecederaan itu, namun pemeriksaan mendapati mereka cedera akibat tembakan.
Susulan kejadian itu, pentadbiran hospital membuat laporan polis berhubung penerimaan pesakit mencurigakan ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |