Sekolah di Selangor kekal selamat, nisbah kes salah laku kecil berbanding jumlah pelajar
SHAH ALAM – Sekolah-sekolah di Selangor disahkan berada dalam keadaan selamat apabila kadar kes salah laku pelajar di negeri itu didapati sangat kecil berbanding jumlah keseluruhan pelajar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Zaini Abu Hassan berkata, walaupun Jabatan Pendidikan Selangor menerima sebanyak 1,219 aduan salah laku pelajar setakat tahun ini, angka tersebut hanya mewakili sekitar 0.0012 peratus daripada jumlah kira-kira 997,000 pelajar di negeri ini.
“Daripada jumlah itu, hanya 41 kes dibuka kertas siasatan, melibatkan 32 kes jenayah kekerasan manakala selebihnya berkait dengan buli. Ini menunjukkan tahap keselamatan di sekolah-sekolah Selangor masih sangat baik,” katanya.
Menurut beliau, beberapa kes yang tular di media sosial mungkin menimbulkan persepsi negatif, namun secara keseluruhan keadaan adalah terkawal.
“Hanya satu atau dua kes serius yang mewujudkan gambaran seolah-olah masalah ini meluas, sedangkan hakikatnya tidak begitu. Kami akan terus menyahut cabaran untuk memperkukuh keselamatan sekolah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Antibuli di SMK Shah Alam, Bukit Jelutong.
Tambah Zaini, kebanyakan insiden yang direkodkan melibatkan konflik ringan antara pelajar senior dan junior, termasuk pergaduhan kecil ketika aktiviti sukan.
Bagi memperkukuh keselamatan, polis meningkatkan rondaan di kawasan sekolah serta menjalankan pemeriksaan mengejut di asrama dikenal pasti berisiko.
Selain itu, katanya, sudah menjadi amalan di Selangor untuk menempatkan pegawai perhubungan polis dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memperkukuh komunikasi dan pemantauan disiplin pelajar.
“Polis akan mencadangkan supaya inisiatif ini diperluaskan ke seluruh negara. Kami juga akan bertemu pegawai Kementerian Pendidikan esok untuk membincangkan langkah tambahan bagi menjamin keselamatan pelajar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






