JENAYAH & MAHKAMAH

Sebar kandungan memudaratkan: MCMC fail tindakan sivil terhadap Edisi Siasat, Edisi Khas

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.

Menurut MCMC, kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, ia berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) ASP(C).

“Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan tahap pematuhan yang tidak memuaskan, katanya, MCMC telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi.

Katanya, ia sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan-kandungan seumpamanya.

“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi.

“Pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak Asasi.

“MCMC sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.

“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama untuk platfform lain juga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button