
Saya hanya duta, tidak terlibat pengurusan. Tiada masalah untuk disiasat SPRM – Jalaluddin Hassan
KUALA LUMPUR – “Saya hanya duta, tugas saya cuma buat video dan promosi syarikat. Tak lebih daripada itu.”
Demikian penjelasan pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan yang menegaskan dirinya tidak terlibat dalam sebarang isu membabitkan syarikat perunding kewangan yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Sky.
Menurutnya, sebagai duta, peranannya hanya terbatas kepada promosi dan tidak membabitkan sebarang urusan kewangan atau operasi syarikat berkenaan.
“Bila isu ini timbul, saya memang terkejut. Tapi saya tenang sebab pengasas syarikat sudah beritahu yang saya bersama dua selebriti lain tidak ada kaitan langsung dengan perkara ini.
“SPRM sendiri pun belum hubungi saya. Kalau dipanggil untuk beri kerjasama, saya akan patuh dan bantu sebaik mungkin,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Bulan Bintang Sedekad Menyinar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
Jalaluddin turut menjelaskan bahawa sebelum bersetuju menjadi duta, dia sudah membuat penelitian dan mendapati syarikat itu beroperasi secara sah tanpa sebarang isu meragukan.
“Sebelum terima tawaran, saya memang buat semakan dan setakat ini, kedudukan kewangan syarikat nampak baik. Tiada yang mencurigakan.
“Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai duta, bukannya terbabit dalam pengurusan syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon itu turut menafikan dakwaan menerima bayaran sehingga RM400,000.
“Kalau betul saya dapat sebanyak itu, memang saya orang paling bertuah! Tapi hakikatnya, tidak. Saya tak mahu ulas panjang soal bayaran ini, biar pihak berkuasa siasat,” ujarnya.
Terdahulu, nama Jalaluddin bersama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain disebut sebagai selebriti yang mungkin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan Ops Sky, membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |