JENAYAH & MAHKAMAH

Saya buat ini untuk semua – Nik Elin

PUTRAJAYA – Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid menyifatkan keputusan petisyen mencabar 18 Enakmen Kanun Jenayah (1) Kelantan 2019 dibuat untuk kebaikan semua rakyat Malaysia.

Ujarnya tindakan beliau dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman itu bukan untuk menggugat undang-undang Syariah sebaliknya untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Dengan keputusan hari ini saya rasa semua setuju bahawa ada perlanggaran perlembagaan. Keputusan hari ini menegakkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah yang paling tinggi.

“Ini demi untuk kebaikan Malaysia juga. Ia tiada kena mengena dengan doktrin Islam. Itupun telah diputuskan mahkamah juga.

“Ini hanya berkenaan kompetensi kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

“Saya harap selepas ini DUN apabila hendak menggubal undang-undang perlu berhati-hati supaya keadaan lebih harmoni,” katanya ketika ditemui selepas prosiding petisyennya terhadap kerajaan Kelantan hari ini.

Menurutnya, sebagai pengamal undang-undang beliau bersyukur atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan 16 peruntukan dalam enakmen negeri itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Alhamdulillah setelah dikutuk, dikeji dan dilaknat.saya bersyukur (dengan keputusan mahkamah). Saya balik Kelantan tidak ada kecaman pun, semuanya menyokong saya,” katanya.

Ditanya sekiranya beliau akan mencabar undang-undang yang digubal oleh DUN) , Nik Elin berkata, beliau tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button