
Salah guna wang infak RM1.52 juta: Alif Teega, Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah
SHAH ALAM – Pasangan pempengaruh terkenal, Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas kesalahan salah guna dana awam.
Pasangan itu membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, pasangan itu didakwa mencapai niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta.
Wang derma itu antaranya untuk projek infaq kurma; infak al-Quran di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Al-Nabawi, Madinah; infak pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah; infak bantuan dan sedekah set pakaian untuk mangsa banjir, sedekah set pakaian raya untuk anak-anak yatim serta sedekah ibadah korban di Makkah.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2021 hingga Julai lalu di dua cawangan bank berbeza di Seksyen 8 dan 9, Bandar Baru Bangi mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh serta menetapkan syarat tambahan dengan Aisyah dikehendaki menyerahkan pasportnya.
Selain itu, kedua-dua tertuduh juga perlu melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan.
Pada 20 September lalu, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyalahguna dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq, April dan Jun lalu.
Walau bagaimanapun, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, mengaku tidam bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pada Julai lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya memerintahkan Alif dan isterinya direman empat hari berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Turut ditahan reman, dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Perintah reman itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan mereka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |