Bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner, dipenjara dua tahun akibat skandal 1MDB
NEW YORK — Bekas pegawai bank pelaburan Goldman Sachs, Tim Leissner dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah persekutuan Amerika Syarikat atas peranannya dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan penyelewengan dana berbilion dolar.
Memetik laporan NST, Leissner pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, mengaku bersalah pada tahun 2018 atas tuduhan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) dan pengubahan wang haram.
Beliau memainkan peranan penting dalam membantu Goldman Sachs mengumpul dana sebanyak AS$6.5 bilion (RM30.55 bilion) untuk 1MDB, di mana AS$4.5 bilion (RM21.15 bilion) telah diselewengkan.
Dalam prosiding mahkamah, Leissner menyatakan penyesalan mendalam atas tindakannya dan mengakui bahawa kekayaan negaraMalaysia telah disalahgunakan akibat ketamakan beliau dan rakan-rakannya.
Beliau juga telah membayar penyitaan sebanyak AS$43.7 juta (RM205.39 juta) kepada Malaysia sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
Walaupun berdepan hukuman maksimum 25 tahun penjara, hakim Daerah AS Margo Brodie memberikan hukuman yang lebih ringan kerana kerjasama signifikan Leissner dengan pihak pendakwaan, termasuk menjadi saksi utama dalam perbicaraan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, yang dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun pada tahun 2023.
Skandal 1MDB telah memberi kesan besar kepada landskap politik Malaysia, menyumbang kepada kejatuhan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan.
Kerajaan Malaysia kini sedang berusaha untuk mengekstradisi Leissner bagi menghadapi pertuduhan di negara ini, dengan notis merah Interpol masih aktif terhadapnya.
Leissner dijangka memulakan hukuman penjaranya pada 15 September, selepas tujuh tahun berada dalam tahanan bersyarat dengan sekatan perjalanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








