Rayuan kes Syed Saddiq didengar esok di Mahkamah Rayuan
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) esok.
Sebelum ini, Syed Saddiq menyatakan beliau akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, untuk segera melengkapkan rayuan tersebut.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid ketika menjatuhkan hukuman memutuskan bahawa tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Mahkamah turut berpendapat tindakan beliau menyimpan dan membahagikan wang tunai tanpa menyimpannya di tempat yang selamat di pejabat Armada menimbulkan inferens niat jahat (bad faith).
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari Armada, untuk melakukan pecah amanah dana RM1 juta pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya pada 16 dan 19 Jun 2018.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Johor Bahru, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah terlibat.
Mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta, serta dua tahun penjara dan denda RM5 juta bagi setiap dua kesalahan pengubahan wang haram.
Jika gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara tambahan empat tahun.
Namun, Hakim Datuk Azhar membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan.
Kes itu mendapat perhatian kerana melibatkan seorang bekas pemimpin Armada Bersatu yang kini mengetuai Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Keputusan Mahkamah Rayuan esok bakal menentukan hala tuju politik Syed Saddiq serta masa depannya sebagai Ahli Parlimen Muar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








