Rayuan akhir Siti Bainun abai, aniaya Bella didengar hari ini
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini akan mendengar rayuan akhir pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap hukuman penjara 12 tahun atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella.
Siti Bainun, 33, memfailkan rayuan akhir itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun lalu.
Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Baca juga : Mahkamah Tinggi tolak rayuan Siti Bainun ketepikan keputusan bersalah aniaya, abai Bella
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Sebelum itu, pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






