
Rakyat Malaysia ditahan di Thailand ada 10 rekod jenayah lampau
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang ditahan pihak keselamatan Thailand kerana terlibat kes rompakan kedai emas di Hat Yai, minggu lalu, mempunyai 10 rekod jenayah lampau.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain lelaki berusia 62 tahun yang berasal dari Kulim, Kedah itu mempunyai dua rekod dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kes bunuh dan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.
Tambahnya, pihak PDRM sedang melakukan semakan terhadap kertas siasatan membabitkan jenayah dilakukannya di negara ini, sebelum proses ektradisi diambil terhadap lelaki terbabit.
Bagaimanapun, ketika ini DRM menyerahkan terlebih dahulu suspek kepada pihak berkuasa Thailand berhubung siasatan kes rompakan emas di negara itu.
“Kita (polis) telah dimaklumkan mengenai penahanan suspek, sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok atas kesalahan samun bersenjata di Hat Yai.
“Suspek kini masih berada di lokap Hat Yai untuk siasatan lanjut, sementara kita (polis) sedang meneliti lanjut kesalahan dilakukannya di negara ini bagi tindakan ektradisi, seterusnya mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan yang dilakukannya di negara jiran,” katanya, hari ini.
Jelas Razarudin, lelaki terbabit tidak lagi tinggal di Malaysia, malah dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di negara jiran.
“Ketika ditahan, lelaki terbabit dikesan memiliki kad pengenalan palsu negara Thailand dan tidak ada MyKad atau passport Malaysia ditemukan bersamanya,” katanya lagi.
Pada 9 April lalu, polis Thailand mengesahkan seorang lelaki warga emas di daerah Nonthaburi, Bangkok ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Hat Yai.
Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Kolonel Polis Anusorn Thongsai dilaporkan berkata, suspek dipercayai rakyat Malaysia disyaki merompak sebuah kedai emas sebelum melarikan diri ke Bangkok.
Suspek ditahan ketika dalam perjalanan dipercayai menuju ke rumah anaknya di Nonthaburi.
Dalam kes rompakan itu, suspek menggunakan pistol untuk melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta Baht (RM1.17 juta).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |