Pusat hiburan guna pelayan asing diserbu imigresen
PETALING JAYA – Cubaan sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya menyembunyikan kegiatan menggaji pelayan wanita warga Sri Lanka terbongkar apabila premis itu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hasil risikan selama seminggu.
Operasi khas itu dilaksanakan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya, melibatkan seramai 40 pegawai pelbagai pangkat.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, premis berkenaan dikesan beroperasi semula walaupun pernah beberapa kali diserbu sebelum ini.
“Semasa serbuan dilakukan, semua warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi di tingkat atas premis, namun berjaya dikesan dan ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan terhadap 20 individu yang terdiri daripada lapan rakyat tempatan dan 12 warga Sri Lanka mendapati seramai 11 orang telah ditahan, iaitu sembilan wanita warga Sri Lanka yang bekerja sebagai pelayan serta dua lelaki senegara mereka.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 \[Akta 155],” jelasnya.
Difahamkan, wanita-wanita terbabit berusia antara 20 hingga 33 tahun dan telah bekerja di premis berkenaan hampir setahun dengan purata gaji sekitar RM2,000 sebulan.
“Hasil pengakuan awal mendapati pasport mereka telah dipegang oleh majikan, dipercayai sebagai syarat sebelum dibenarkan bekerja,” katanya.
Menurutnya lagi, pasukan operasi turut menjalankan penilaian awal berdasarkan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi mengenal pasti kemungkinan unsur eksploitasi atau pemerdagangan orang.
“Hasil semakan tidak menemukan sebarang elemen eksploitasi atau kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” ujarnya.
Dalam operasi itu juga, semua pelanggan dan pekerja premis diberikan Borang 29 (saman saksi) bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk tindakan susulan.
Jabatan Imigresen Malaysia dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau premis yang melanggar undang-undang, termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Pasport 1966.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






