JENAYAH & MAHKAMAH

Pukul lelaki OKU: 3 individu termasuk warga emas ditahan polis

KEMAMAN – Tiga individu termasuk seorang peniaga ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul membabitkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di sini semalam.

Memetik laporan Sinar Online, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja’afar berkata, lelaki berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira jam 8 malam tadi.

“Mereka yang ditahan ini telah dirakam keterangan dan pihak polis masih lagi menyiasat kes ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh.

“Mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berdekatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Dalam pada itu, katanya mangsa OKU mental berusia 47 tahun yang mengalami kecederaan ringan telah dirawat di Hospital Kemaman dan diserahkan kepada keluarganya.

Beliau memberitahu, waris mangsa dinasihatkan supaya mengawal pergerakan mangsa agar kejadian sama tidak berulang.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis menerima laporan berhubung insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut jam 9.30 pagi.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan barangan di gerai tersebut terjatuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button