BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

PPM rampas barangan seludup hampir RM250,000

KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga menumpaskan dua cubaan penyeludupan membabitkan barangan kawalan dan hasil pertanian dalam dua operasi berasingan di Kelantan semalam.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, operasi pertama dijalankan sekitar pukul 11 pagi di Jalan Kota Bharu–Pasir Puteh.

“Sebuah lori yang dipandu secara mencurigakan dikesan Unit Risikan Marin (URM), Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor ketika Ops Taring Landai/Kontraban dijalankan.

“Pemandu lori bertindak memecut dan melarikan diri apabila diarahkan berhenti. Kenderaan itu kemudiannya ditemui di bahu jalan Kampung Mahligai, Bachok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek melarikan diri ke kawasan semak dan gagal dikesan walaupun usaha pencarian segera dijalankan.

“Pemeriksaan ke atas lori tersebut membawa kepada penemuan 44 kampit beras import dengan berat keseluruhan 1.1 tan metrik.

“Jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM4,400. Beras tersebut dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok dan untuk pasaran haram di kawasan selatan Kelantan,” tambahnya.

Nilai keseluruhan termasuk lori yang digunakan dianggarkan sebanyak RM84,400.

Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras Negara untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Padi dan Beras Negara 1994 kerana memiliki dan mengangkut beras tanpa kebenaran sah,” katanya.

Dalam operasi berasingan pada hari sama, pasukan URM berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 16,650 biji kelapa sodok ke Thailand.

“Serbuan dilakukan di tepi jalan Kampung Pulau Ular, Jalan Kasban, Tumpat. Tiga lelaki ditahan bersama sebuah lori sarat dengan muatan kelapa.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi kedua itu dianggarkan berjumlah RM99,900,” katanya.

Kedua-dua serbuan itu menyaksikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM249,900.

“PPM Wilayah Tiga akan terus mempergiat risikan dan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan ekonomi negara,” tegas beliau.

Kes penyeludupan kelapa disiasat mengikut Peraturan 4(2)(b) Rancangan Pemasaran Kelapa 1973 di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965, kerana menjalankan urus niaga tanpa lesen sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button