Polis tahan seorang lelaki cederakan ibunya guna pisau, sepana ketika solat
GERIK – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencederakan ibunya menggunakan pisau dan sepana ketika sedang menunaikan solat di rumah mereka di Kampung Bongor, di sini, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 29 tahun, didakwa turut mencederakan adik lelakinya berumur 15 tahun yang cuba menyelamatkan ibu mereka dalam kejadian itu.
Katanya, suspek dikatakan memukul ibu kandungnya berusia 54 tahun pada bahagian muka dan badan sebelah kiri secara bertubi-tubi.
“Hasil siasatan mendapati suspek didakwa memukul ibunya yang sedang mendirikan solat ketika itu menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
“Adik suspek yang sedang berada di dalam bilik air terdengar jeritan itu lalu keluar dan melihat suspek sedang memukul ibu mereka bertubi-tubi. Dia turut dipukul apabila cuba menolong ibu mereka,” katanya memetik laporan BH Online.
Susulan itu, Mohd Yusri berkata, kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bersia, di sini, pada jam 7.50 pagi semalam dalam keadaan berdarah akibat kecederaan yang dialami.
Katanya, dua beranak itu kemudian mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut di Bahagian Kecemasan, Hospital Gerik, sebelum dimasukkan ke wad.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan lebam dan luka hirisan pada beberapa bahagian badan mangsa.
“Ibu suspek mengalami luka hirisan serta lebam pada bahagian atas kepala, pipi kiri dan sekitar bahu serta tangan kiri, manakala adik suspek pula mengalami luka hirisan pada bahagian betis kaki kanan, pergelangan tangan kanan dan calar di leher sebelah kiri,” katanya.
Berikutan itu, Mohd Yusri berkata, polis merampas barang kes dan menahan suspek yang kemudian dibawa ke Mahkamah Taiping, hari ini, bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rumah setingkat tempat kejadian itu hanya didiami suspek bersama kedua-dua mangsa, dan hasil pemeriksaan polis menemui tompokan darah di atas lantai kediaman berkenaan.
Katanya, suspek dipercayai berhalusinasi lalu bertindak mencederakan mangsa, malah lelaki itu dikatakan pernah dirujuk ke Hospital Taiping tetapi dibebaskan semula kerana didapati tiada mengalami sebarang masalah mental ketika itu.
“Suspek yang tidak bekerja (penganggur) juga didapati mempunyai rekod lampau kes jenayah membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada 2011 dan pernah ditangkap,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

